Alahai Negeri Pahang DM



Sedih dan terkilan saya rasa negeri Pahang telah lama berbelas tahun (mungkin lebih) berhutang dengan kerajaan pusat. Dengar cerita anggarannya sampai tiga bilion ringgit.

Hal ini khabarnya menjadi punca yang menyebabkan pelantikan MB serta exco Pahang lambat diadakan seperti tiada siapa mahu menjadi MB. MB sebelumnya seperti berat untuk meneruskan perkhidmatan.

Selama saya hidup, saya tengok dan tahu Pahang terlalu kaya dengan hasil bumi: balak, getah, sawit, bijih besi, timah, bauksit & emas.

Balak tak habis-habis ditebang. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdengar usul dan sememangnya telah berjalan projek membalak mega di kawasan lembangan Tembeling. Lebih daripada 100 ribu hektar hutan dibalak dan dicuci untuk membuka ladang sawit. Saya pernah masuk ke kawasan yang dinyatakan & menyaksikan dengan mata kepala sendiri, ternyata sedang sangat rancak dilaksanakan.

Getah. Pahang ada banyak kebun getah saujana mata memandang. Walaupun harga getah murah sekarang tetapi yang nyata ia tetap menyumbang kepada pendapatan negara. Dan ia tak selalunya murah.

Sawit. Negeri Pahang berlambak sawit, daripada pekebun kecil, estet- estet, FELCRA sampai ke FELDA. Hampir 50% FELDA ada di Pahang sahaja. Jadi kita boleh fikirlah betapa banyaknya luasnya ladang kelapa sawit di Pahang.

Bijih besi. Sudah lebih 10 tahun saya tengok lori bijih besi bersusun di atas jalan raya. Ke hulu ke hilir mengangkut bijih amang. Sampai habis jem. Jalan pun rosak. Setakat yang saya nampak dari Kuala Lipis sampai ke Maran penuh dengan lori bijih besi.

Bijih timah dilombong secara komersial di Pahang sejak sekian lama. Lombong di Sungai Lembing pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar di dunia sehingga digelar penyelamat Ratu England. Terowongnya pernah menjadi terowong terpanjang dan terdalam di dunia. Bukit Ibam pernah muncul menjadi lombong bijih timah terbesar di Asia. Jika tidak silap, Rompin masih mengeluarkan bijih timah.

Emas. Kisah kekayaan negeri Pahang yang melimpah ruah dengan emas sudah termaktub di dalam sejarah sejak zaman berzaman. Lombong emas terdapat merata- rata. Selain banyak yang masih beroperasi, ada banyak lagi yang berpotensi untuk bakal dibuka. Antara lokasinya adalah Luit, Maran. Lombong emas paling besar bukan sahaja di negeri Pahang tetapi juga di Malaysia tentulah lombong emas di Penjom dan terbaru di Selinsing. Kedua- duanya terletak di Kuala Lipis. Pada hari ini, lebih daripada 90% emas negara Malaysia datangnya dari Pahang.

Pernah terdengar berita perairan laut Pahang juga tersimpan petroleum dan proses carigali telah dilakukan. Tak tahu bagaimana agihan royalti. Senyap macam tu je.

Kebanyakan hasil pertanian negara pun datangnya dari Pahang. Tak kira apa jenis sama ada buah-buahan atau sayur- sayuran. Tak kira sama ada bermusim atau tidak bermusim. Bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga dieksport.

Pahang ada pelabuhan paling besar di pantai timur iaitu Pelabuhan Kuantan.

Kawasan- kawasan peranginan & pelancongan yang ternama pun banyak di Pahang seperti Genting Highlands, Bukit Fraser, Cameron Highlands, Cherating, Pulau Tioman dan sebagainya. Taman Negara pun ada dua. Tasik semulajadi terbesar & kedua terbesar pun ada di Pahang yakni Bera & Chini.

Pojek LYNAS yang pernah menjadi kontroversi tetapi tetap diteruskan atas dakwaan untung. Dan setahu saya memang untung sebab gaji pekerja pun mahal.

Hasil laut Pahang pun banyak kerana persisiran pantainya yang luas. Maka perairannya juga luas.

Itu belum kira lagi industri-industri lain seperti pengilangan dan pembinaan. Biarpun tidaklah serancak negeri maju lain, namun ia tetap ada.

Memang tepat sekali Pahang digelar sebagai Darul Makmur.

Jadi mengapa Pahang yang kaya dengan hasil bumi begitu tenat sampai dikatakan hampir bankrap?

Negeri-negeri lain yang didakwa miskin pun takdelah sampai menggunung hutangnya. Lagipun padanlah sebab ada di antara negeri- negeri itu kurang atau tiada hasil.

Betulke Pahang sebegitu miskin?

Kalau miskin mengapa orang luar tak mengira bangsa berduyun- duyun datang ke Pahang sejak dari merdeka sampai ke hari ini berterusan datang sehingga melebihi jumlah penduduk asal. Mereka datang mencari rezeki sama ada bekerja sendiri, bekerja dengan kompeni, menyertai FELDA, FELCRA & berkhidmat dengan kerajaan. Sehinggakan ramai di kalangan mereka memilik tanah sehingga ada di antaranya yang membuka kampung/ penempatan dan terus menetap di Pahang serta berkeluarga beranak-pinak.

Jika benar Pahang miskin, pasti tak berlaku macam tu.

Saya perhatikan, bagi anak jati atau penduduk asal Pahang, mereka masih sangat 'pasif': "Ah biorla....". Ramai yang masih sangat leka sampaikan ke taraf 'kurang cerdik' (maaf cakap).

Bagi rakyat Pahang yang bukan asal Pahang pulak: "Lantaklah! Bukan negeri aku".

Jadi secara keseluruhannya rakyat Pahang tak kisah pun apa jadi kepada negeri Pahang.

Sepatutnya semua hasil itu patut dinikmati secara bersama. Bukan dinikmati rakyat Pahang semata- mata tapi seluruh rakyat Malaysia tak mengira bangsa, agama, status dan keturunan.

Berlainan pula dengan rakyat negeri- negeri lain sibuk menuntut royalti. Dapat tak dapat belakang kira. Tuntut tetap tuntut.

Peluang inilah yang diambil pihak berkepentingan mengaut keuntungan daripada bumi Pahang semahu- mahunya.

Iyalah, takde siapa yang ambil peduli pun. Kalau ada pun setakat beberapa kerat jer. Itu pun setakat sembang bolehlah.

Semoga pengurusan di Pahang bertambah baik dan lebih terkawal. Semoga hutang langsai. Semoga kita semua dapat nikmati hasilnya.

Nota kaki: Pos saya ni tak berniat apa pun. Cuma sekadar meluah rasa sedih sebagai rakyat negeri Pahang. Maaf kalau ada yang berasa kurang senang dengan pos ni.q
Sent from my ASUS