Sijil Pelajaran Malaysia 2010 BM

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang langkah-langkah menjayakan program kitar semula dan faedahnya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pernahkah anda terfikir tentang sisa pepejal atau sampah-sarap yang dibuang setiap hari yang tidak diuruskan dengan sempurna? Sehubungan dengan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah melancarkan kempen kitar semula secara besar-besaran di seluruh negara. Namun program kitar semula ini kurang berjaya kerana sikap masyarakat kita sendiri yang kurang prihatin terhadap perkara ini dan tidak ambil peduli tentang implikasi pembuangan sisa pepejal yang berlebihan. Masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat kita yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Masyarakat kita juga kurang memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan sisa pepejal ini diurus dengan sewajarnya. Selain itu, penglibatan dan penyertaan yang masih rendah pihak swasta juga menyebabkan program kitar semula ini sukar mencapai sasaran.

Seharusnya pihak swasta turut memberikan komitmen yang tinggi, seperti menganjurkan program kitar semula, agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kitar semula. Usaha sesetengah pasar raya besar seperti Jusco yang menyediakan tong kitar semula haruslah dipuji dan patut dicontohi oleh pihak swasta yang lain. Pendidikan mengenai kepentingan kitar semula perlulah dipupuk dari awal bermula dari rumah dan sekolah. Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam melatih anak serta pelajar mengamalkan cara yang betul tentang pembuangan sampah dan sisa pepejal. Pendidikan awal ini jika dipupuk secara berterusan akan menjadi amalan yang sangat menguntungkan semua pihak.

Kerajaan perlu menggubal semula undang-undang bagi menghukum penjenayah alam sekitar yang membuang sampah dan sisa industri sesuka hati. Peranan media massa juga penting dalam memastikan kempen kitar semula ini lebih berkesan dalam kalangan masyarakat. Iklan mengenai kitar semula haruslah sentiasa disiarkan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap kempen ini.

Walaupun jumlah tong yang disediakan menjangkau 15,000 buah yang merangkumi 700 pusat kitar semula di seluruh negara, namun jumlah ini masih belum mencukupi. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperbanyak tong dan pusat kitar semula. Peranan badan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam menubuhkan persatuan atau badan tertentu dalam menangani masalah pembuangan sampah di negara kita. Seharusnya kita mencontohi beberapa negara luar yang NGO-nya mengambil inisiatif membentuk kumpulan atau komuniti bagi menjayakan projek kitar semula.

Telah banyak usaha dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2000 hingga sekarang. Persoalannya, sejauh manakah program kitar semula di negara ini berjaya? Jangan tunggu hingga esok, kita mulakannya hari ini.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, Berkesankan Kitar Semula?
oleh Roslan Lateh, Dewan Siswa Jun 2008)


Soalan 2 : Pemahaman


Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


(i) Berikan maksud tidak ambil peduli tentang implikasi berdasarkan penggunaannya dalam petikan tersebut.

[2 markah]

(ii) Mengapakah program kitar semula dalam kalangan masyarakat kita masih kurang berkesan?

[3 markah]

(iii) Pada pandangan anda, selain daripada program kitar semula, nyatakan aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilaksanakan bagi memelihara alam sekitar?

Nyatakan empat aktiviti.

[4 markah]

Soalan 2(b) - Petikan Drama

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SRISEGALA: (Ketawa sinis) Orang muda! Kau tak pernah mengingati perkembangan dunia hari ini agaknya. Tahukah kau bahawa fikiran dan perasaan manusia itu adalah di bawah kekuasaan tempat duduknya? Kerusi ini lebih bijaksana dariku. Begitu juga bunyi sebuah gong, menguasai siapa saja yang menduduki tempat ini.

PUTRA : Tidak! Itu hanya alasanmu. Sejak bilakah kau berikan nyawa pada sebuah kerusi dan sebuah gong yang kaku? Kau adalah punca segala-galanya. Dan aku cukup tahu, selama kau di situ, hanya segelintir manusia saja yang akan berjaya mendaki gunung mencapai awan. Manusia yang sama bulunya denganmu. Aku dan orang-orang itu akan hanya dihiburkan dengan lakonanmu. Kau membawa kami ke dunia tiga penjuru dengan segala janji bahawa penjuru itu lebih baik dari yang itu, dan yang ini lebih baik lagi. Aku sudah tahu dunia tiga penjurumu itu sama semuanya. Tidak ada yang lebih baik!

SRISEGALA : (Ketawa) Apa sebenarnya yang kau mahu? (Terus ketawa)

PUTRA : Aku mahu kau berhenti ketawa!

Srisegala terdiam tiba-tiba. Wajahnya bertukar serius dan dia memandang tepat ke muka Putra.

PUTRA : Aku mahu lakonan ini segera berakhir. Aku mahu kau segera turun. Kalau tidak kau lihatlah nanti, akan kusuruh semua orang-orang ini bangun. Dan waktu itu tempatmu bukan lagi di situ!

(Dipetik daripada antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000)


(i) Terangkan maksud sama bulunya seperti yang digunakan dalam petikan di atas.

[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, pada zaman moden ini, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh rakyat kepada pemimpin seperti Srisegala?

[4 markah]

(iii) Terangkan satu perwatakan Putra seperti yang terdapat dalam petikan di atas dan dua lagi perwatakan Putra yang lain daripada keseluruhan drama ini.

[3 markah]

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebermula, maka tersebutlah perkataan Saidah datang meniarap di hadapan Jibor seraya menyembah kaki Jibor dengan tangisnya. Maka kata Jibor, “Mengapa maka pekerti tuan hamba demikian ini ?”

Maka kata Saidah dengan tangisnya, “sebab pun hamba demikian ini daripada tiada hamba mahu memalingkan muka hamba daripada tuan hamba, yang niat hamba kepada Allah subhanahu wataala kepada siang dan malam hendak mati di bawah kadam tuan hamba juga. Daripada sangat belas hati hamba, maka hamba katakan rahsia ini kepada tuan hamba. Inilah hal saudara tuan hamba yang diharap itu, hamba dapati afalnya itu selama dia diam pada kita di sini. Maka haripun malamlah sudah, maka pada ketika awal dinihari tuan hamba pun tatkala tidur tiada sedarkan diri, tatkala itu hamba sakit perut hendak qada hajat, maka hamba pun pergi pada tempat buang air seni itu. Setelah sudah hamba buang air seni, maka hamba pun keluar hendak kembali. Maka dipegang oleh Sabor tangan hamba. Maka hamba pun hendak berteriak, maka dihunusnya jambiah hendak menikam; daripada hamba takutkan mati, maka hamba pun tiada mahu pula, daripada hamba takut akan Allah taala dan takut akan tuan hamba , malulah hamba, baiklah hamba mati dibunuhnya sekalipun, kabullah hamba, daripada derhaka akan tuan hamba.”

(Dipetik daripada cerita Sabor
dalam antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000)

(i) Apakah maksud qada hajat berdasarkan petikan di atas ?

[2 markah]

(ii) Siapakah Saidah ?
Mengapakah Saidah meniarap di hadapan Jibor ?

[3 markah]

(iii) Jika anda ialah Jibor, apakah tindakan anda selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Saidah ?

[3 markah]


Soalan 2 (d) – Petikan Sajak

Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ANAK LAUT

Segar angin laut

mengembalikan rindunya pada kolek

bagai buih kecil terapung di air

menjaring sedikit rezeki

dan sisik ikan

kulit ketam

kepala sotong

dan kaki udang yang bersimpati.

Seperti kolek terdampar di pasir

menampakkan urat jalur-jalur tua

anak laut itu sudah dapat menerka

langkahnya hampir tiba

pada muara

\Pencipta.
Rahimidin Zahari Kulepaskan Resah Sepi, 1988 Dewan Bahasa dan Pustaka.

(i) Berikan maksud baris mengembalikan rindunya pada kolek.

[2 markah]

(ii) Jika anda seorang nelayan, apakah usaha-usaha yang wajar anda lakukan bagi menambahkan pendapatan anda?

[4 markah]

(iii) Nyatakan tiga nilai yang terdapat dalam sajak di atas.

[3 markah]


Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 Markah ]

Jawab semua soalan

(a) Tulis dua ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaanya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau kata nama khas.

( i ) faedah

( ii ) daki

( iii ) alamat

[6 markah]

(b) Tukarkan perbualan di bawah kepada bentuk laporan. Anda dikehendaki mengekalkan maksud dan susunan isi dalam petikan ini.

Mary Tan : Wah, banyaknya juadah yang disediakan!

Sazali : Biasalah. Tidak meriah sambutan hari raya kalau tidak ada juadah yang istimewa.

Mary Tan : Sungguh sedap. Inilah kali pertama saya memakannya. Apakah nama makanan ini?

Sazali : Inilah ketupat daun palas, makanan tradisional masyarakat Melayu.

Mary Tan : Ya, sedap! Lemak rasanya. Bagaimanakah cara menyediakannya?

Sazali : Cara membuatnya agak sukar, memerlukan ketelitian dan ketabahan hati.

[6 markah]

(c) Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu jawapan bagi setiap kesalahan ejaan dan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.

Rumah bagi masyarakat Melayu bukan sahaja merupakan keperluan asas dalam hidup, tetapi juga merupakan seni bena yang diwarisih sejak turun-temurun. Pertimbangkan yang wajar daripada pelbagai sudut perlu dibuat sebelum mendirikan sesebuah rumah. Unsur seperti alam sekitar, topografi, iklim, kebolihan teknikal tukang rumah, pengaruh agama, kemampuan ekonomi, dan kebudayaan serumpun amat dipengaruhi gaya dan bentuk bangunannya.

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

i). Berita kemalangan kapal tangki dilaut itu baru diceritakan pada pagi ini.

ii). Muzium Negara sentiasa dikunjungi pelawat itu akan dibaiki pada minggu hadapan oleh sepasukan kontraktor.

iii). Sejak berapa tahun belakangan ini industri pelancongan telah menjadi industri utama dalam bidang ekonomi negara.

[6 markah]

(e) Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan situasi tersebut.

Pada mulanya Azmi hanya bekerja sebagai pemotong daging di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Namun kini, dengan berkat usahanya yang gigih, beliau telah menjadi Pengarah Urusan di syarikatnya sendiri. Beliau percaya bahawa kerajinan akan membuahkan hasil. Sejak tahun 1980, beliau mula mengeluarkan sosej dan burger sendiri secara manual. Beliau mahu mulakan dengan cara yang sedikit-sedikit dahulu. Akhirnya, perniagaannya mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pelanggan Melayu tetapi juga kaum-kaum lain. Malahan di sekitar Kuala Lumpur, kita dapat melihat semakin banyak gerai yang muncul menggunakan jenama ‘Azmy Burger’.

[6 markah]

Soalan 4 :Novel

[ 15 markah ]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut :

i. Terminal Tiga karya Othman Puteh

ii. Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj.Yusof

iii. Di Hadapan Pulau karya A.Samad Said

iv. Bukit Kepong karya Ismail Johari

v. Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

vi. Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah

vii. Julia karya Abu Hassan Morad

viii. Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

a) Pengarang menggunakan pelbagai teknik penceritaan untuk menghasilkan sebuah novel yang menarik.

Huraikan dua contoh teknik imbas kembali yang digunakan dalam novel yang anda kaji dan nyatakan dua sebab teknik tersebut dikatakan menarik ?

[ 7 markah ]

b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan persamaan latar masa yang terdapat dalam dua buah novel tersebut.

[ 8 markah ]

KERTAS SOALAN TAMAT