MELAYU KEKAL BANGSA KELAS KE 2

MELAYU KEKAL BANGSA KELAS KE 2

Maka kekal lah bangsa Melayu ini sebagai bangsa kelas kedua, dan yang paling sedihnya, ditanahairnya sendiri, setelah 60 tahun ia memerintah sebagai majoriti.

Orang yang datang berhijrah lama dahulu, merentasi lautan, ribut dan taufan, kini berada ditangga teratas, memegang kemas bukan saja tampuk, malahan seluruh ekonomi tanahair ini.

Tidak boleh disalahkan orang berhijrah ini. Mereka benar-benar faham konsep berhijrah, dari zaman yang gelap hinggalah yang cerah sekarang ini.

Mereka mentelaah pelajaran dikala ramai kita bercumbuan disekolah atau berlumba motor dijalan. Mereka didewan serbaguna bermain badminton menyihatkan badan dikala ramai kita berpeleseran diwarung, minum bergelas teh tarik sambil menyedut asap tembakau.

Tak ada siapa yang beritau kita kekurangan kita ini. Jika ada yang menunjuk ajar mungkin keadaan kita akan lebih baik dari sekarang.

Mereka dikalangan kita yang berjaya pun tidak dapat membantu yang kurang berjaya. Mungkin sikaplah puncanya.

Sedangkan mereka yang kita lantik untuk merancang masa depan kita sekumpulan pula semuanya sudah lupa daratan. Di Kuala Lumpur itu tiada yang susahnya.

Bila sudah minum kopi petang pun di Hilton dan malamnya hisap cerut beratus ringgit sebatang, mereka sudah tidak ingatkan kita lagi.

Mereka sudah mewah hasil lantikan kita itu. Habis manis sepah dibuang, kata orang.

Tinggallah kita dengan nasib kita yang dirundung malang ini. Jauh dari rumah teres kita di Semenyih, Rawang dan Selayang, kita nampak cahaya bergemerlapan orang-orang berhijrah yang tinggal di Damansara, Bangsar dan Petaling Jaya.

Kita sudah beransur-ansur terpaksa tinggalkan kawasan-kawasan itu kerana harganya sudah diluar jangkauan kita.

Sekali-sekala kita lihat muka-muka yang kita lantik itu. Macam-macam janji yang mereka tabur lagi, sambil menabur wang ringgit yang banyak bagi kita tapi cuma tahi gigi buat mereka.

Suka kita dengan pemberian mereka itu. Bila disuruh jurugambar untuk peragakan wang kertas pemberian mereka itu, kita pun buat dengan bangga. Keluar suratkhabar esoknya. Beritanya...pimpinan yang peka akan kesejahteraan rakyat.

Yang tidak keluar akhbar ialah perkara-perkara berikut - yang ramai miskin, yang ramai tercicir belajar, yang ramai dalam pusat pemulihan dan yang ramai terlibat rasuah....orang Melayu ini lah.

Ini semua tak boleh keluar berita kerana jika keluar, ia nampak kegagalan pemimpin.

Kita bangga dikampung kerana imam qariah kita dihantar ke Makkah dan masjid kita diberi peruntukan pendingin hawa. Di Kuala Lumpur pemimpin kita sedang bersiap untuk bercuti ke London.

Sedih kita ini sebenarnya. Dari tukar tayar kereta, sampai lah ke ikan yang isteri kita masak tadi, tiada yang kita kawal perjalanannya.

Tak ada apa yang pemimpin kita itu boleh banggakan. Selama 60 tahun memerintah sebagai majoriti, kita masih menadah tangan harapkan sumbangan dari kerajaan.

Orang berhijrah yang dahulunya berniaga tak henti-henti seperti lebah di Plaza Low Yat, sekarang dah jadi tuan pula. Perniagaannya orang lain yang jalankan.

Dimana kita? Jika anda minum kopi dimalam yang dingin ini diwarung, anda akan didatangi beberapa pemuda membawa berbagai risalah. Mereka memintalah bantuan anda barang sedikit. Katanya nak bina itu dan ini dan kebanyakan mereka ini masih muda.

Cuba anda kira dari semua yang anda nampak malam ini, banyaknya bangsa apa? Disitu lah kita sekarang ini.

- MUSTAPHA KAMIL

Sent from my ASUS