Hari ini, ramai berkumpul di ibu kota dalam himpunan bantah ICERD atau himpunan kesyukuran ICERD tidak diratifikasikan. Kehadiran agak ramai dan nyata usaha untuk mengumpulkan orang ramai itu berjaya.
Apa-apa pun, semoga segalanya berjalan lancar dan semua dapat kembali ke tempat masing-masing dengan selamat. Difahamkan, ada seorang penunggang motosikal dari selatan tanahair mengalami kemalangan dalam perjalanan ke ibu kota namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Di pihak yang tak bersetuju dengan perhimpunan ini, harap dapat berlapang dada dan meraikan demokrasi ini di mana kebebasan bersuara dan menyuarakan bantahan adalah hak setiap rakyat sepertimana disebut dalam perlembagaan.
Saya tak ingin menyentuh banyak tentang perhimpunan hari ini, tapi suka untuk mengajak semua agar berfikir ke hadapan. Apakah yang perlu kita buat seterusnya?
Kalau kita lihat semula, di dalam perlembagaan Malaysia ada Perkara 153 yang menyentuh tentang hak istimewa orang Melayu. Ianya menyentuh tentang raja-raja Melayu, bahasa, tanah rezab dan sebagainya. Ramai, apabila timbul isu berkaitan hak, akan menyebut tentang Perkara 153 ini, tapi secara jujurnya, berapa ramai yang pernah mengambil sedikit masa untul membaca dan memahami apa yang sebenarnya ada dalam Perkara 153 ini? Bagaimana kita boleh memetik sesuatu perkara yang kita sendiri pun tak faham tentangnya?
Dan sebenarnya, perkara pokok tentang masalah ini sebenarnya adalah dari polisi kerajaan yang dibuat berdasarkan kaum. Dan kemudian, ramai pula yang meletakkan kaum dan mengaitkannya dengan agama sedangkan kaum dan agama adalah dua benda yang berbeza. Kita terlalu inginkan sesuatu yang eksklusif dimana kalau boleh keistimewaan itu bukan hanya tentang kaum dan agama, tetapi dikecilkan lagi supaya kita dan hanya kita yang menikmatinya. Sedangkan itu adalah punca kepada permasalahan sebenar.
Mari kita lihat dari sudut pendidikan. Sekolah berasrama penuh diwujudkan sebagai satu usaha untuk memberikan suasana pendidikan yang baik bagi golongan kurang mampu. Diwujudkan asrama, dengan kemudahan makanan dan Biasiswa Kecil Persekutuan untuk tujuan tersebut. Malah lebih eksklusif lagi, Maktab Rendah Sains Mara diwujudkan bagi tujuan yang sama. Namun, polisi berdasarkan kaum yang diwujudkan dengan kuota untuk bumiputera dan sebagainya sebenarnya menggagalkan usaha ini tanpa kita sedari. Kenapa kita tak sedar? Kerana anak-anak kita, anak-anak saudara kita, suku sakat kita sedang menikmatinya sedangkan sasaran adalah untuk membantu golongan yang kurang mampu. Hari ini, jika dibuat bancian, berapa ramai anak bumiputera yang dari kalangan mampu, yang menghuni dan mendapat keistimewaan dari SBP dan MRSM ini dan berapa peratus sebenarnya golongan sasaran yang menikmatinya. Selanjutnya, begitu juga UITM dan institusi berasaskan bumiputera lain. Maka, jurang kemampuan antara yang kaya, yang sederhana dan yang miskin akan kekal, atau semakin membesar walaupun kita telah melalui Rancangan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru yang telah masuk ke siri entah berapa.
Seharusnya, kerajaan perlu mewujudkan polisi berdasarkan kelas kerana masalah kemiskinan adalah masalah yang merentasi sempadan kaum dan agama. Kita sedia maklum, peratusan yang tak seimbang antara T20, M40 dan B40 sangat membimbangkan. Dan dengan bantuan "ad-hoc" serta skim-skim yang diwujudkan, sebenarnya golongan M40 lah yang paling banyak mengalami kerumitan. Mereka tidak layak dibantu dan mereka tidak mampu bersaing dengan golongan T40 dalam merebut peluang yang ada. Kerana apa? Kerana selama ini, mereka terlindung dari perhatian akibat polisi berdasarkan kaum ini yang telah diwujudkan ini.
Jadi, saya amat berharap sebenarnya untuk sekalian rakyat bangkit dan sedar bahawa apa yang sebenarnya kita perlukan sekarang adalah satu polisi berdasarkan kelas, dan bukannya kaum. Percayalah, apabila satu polisi yang mampan berdasarkan kelas boleh diwujudka, seribu ICERD hadir sekalipun, tak akan mempu menggoyahkan kita.
Sebagai rakyat, kita perlu mendesak wakil-wakil kita di Parlimen tak kiralah dari parti apa sekalipun, untuk menyuarakan tentang keperluan untuk mewujudkan satu polisi kerajaan berdasarkan kelas agar rakyat dapat dibantu secara bersasar untuk keluar dari penderitaan hidup dan menikmati kehidupan di negara yang makmur dan berdaulat ini.
WAN ZAMZAHIDI BIN WAN ZAHID
Sent from my ASUS